JASIN: Pakatan Rakyat mempertaruhkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah, 38, sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini.
Pengumuman calon Pakatan Rakyat itu dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu majlis dekat sini, malam Khamis.
Yuhaizad yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin memiliki Diploma Tasawur Islam dijangka berdepan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad, 44, pada PRK yang ke-15 sejak Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan serentak dengan pemilihan Kerdau di Pahang.
No comments:
Post a Comment