Wednesday, February 23, 2011

Malaysia 2 - 0 Pakistan






Gol Pertama


Gol Kedua

SHAH ALAM 24 FEB : Malaysia membawa bekal sedikit selesa ke Lahore selepas menumpaskan Pakistan 2-0 pada perlawanan pertemuan pertama pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohd Irfan Fazail muncul wira negara apabila masing-masing menjaringkan gol seawal minit ketiga dan keempat waktu tambahan separuh masa pertama.

Perlawanan timbal balik pertemuan kedua akan berlangsung di Stadium Punjab, Lahore pada 9 Mac depan.

Beraksi di depan 7,000 penyokong, skuad Olimpik negara yang bermula garang tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama menerusi sepakan luar kotak penalti oleh pemain tengah Wan Zaharulnizam, yang berpunca daripada sepakan sudut oleh Mohamad Fandi Othman seawal minit ketiga, menewaskan penjaga gol Pakistan Yousof Ejaz Butt.

Bagaimanapun, berlaku sedikit kecoh apabila pemain Pakistan, Ansar Abbas diperintah keluar padang oleh pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man apabila sengaja menyiku muka Khairul Fahmi Che Mat ketika penjaga gol Malaysia itu menangkap kemas bola pada waktu kecederaan separuh masa pertama.

Skuad anak didik Ong Kim Swee nyata mengambil peluang daripada skuad Pakistan yang bermain 10 orang apabila Mohd Irfan tidak mensia-siakan hantaran lintang sebelah kiri gawang gol lawan oleh Wan Zaharulnizam pada waktu tambahan separuh masa pertama bagi menghukum kelemahan barisan pertahanan Pakistan sebelum wisel ditiup.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, jurulatih Pakistan Tariq Lutfi membuat sedikit pertukaran pada separuh masa kedua, dengan menggantikan Yousof, yang bermain untuk sebuah kelab di Denmark, dengan penjaga gol kedua, Muhammad bagi memperkemas gawang gol.

Malaysia yang mengawal permainan, hampir menjaringkan gol seterusnya apabila mendapat beberapa peluang menarik di depan gawang gol Pakistan, namun Muhammad bijak menangkis serangan bertali arus pasukan tuan rumah.

Skuad negara bawah 23 tahun terus menggandakan asakan demi mencari jaringan gol, namun kekebalan gawang gol Pakistan pada babak kedua nyata menutup peluang skuad negara hingga tamat permainan.

Malaysia pernah beraksi di pusingan akhir Sukan Olimpik Munich 1972, iaitu 39 tahun lalu, dan lapan tahun kemudian, negara sekali lagi melakar sejarah apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, namun tidak mengambil bahagian atas faktor politik (iaitu membantah pencerobohan Soviet Union terhadap Afganistan).

No comments:

Post a Comment