Monday, April 11, 2011

Perak intai benam Kelantan di gelanggang sendiri


IPOH - Pertemuan dua pasukan kelompok atas Liga Super Selasa ini antara Perak menentang Kelantan di Stadium Perak dijangka akan menyajikan  saingan sengit daripada kedua-dua pasukan.
Rekod tanpa kalah anak buah Norizan Bakar lebur pada hujung minggu lalu ekoran kekalahan 2-1 kepada Sabah di Stadium Likas, ia sekaligus merentap moral dan  motivasi skuad Seladang tersebut.
Menanti kunjungan skuad Red Warriors bukan satu tugas muda buat Perak, menyedari hakikat tersebut Norizan pastinya mahukan aksi terbaik dan bertenaga  daripada para pemainnya untuk mendapatkan hasil yang positif pada pertemuan tersebut.
"Ia satu misi yang sukar kerana Kelantan bukan sebuah pasukan yang mudah dijinakkan.
"Misi kami pastinya mengekang dan beraksi sebaik mungkin bagi mengekang kehebatan para pemain Kelantan nanti," ujar Norizan.
Namun harus diingat Perak boleh disifatkan sebagai kebal di laman sendiri termasuk gah memilki rekod pertahanan terbaik Liga Super dengan hanya dibolosi  sebanyak lima kali sahaja setakat ini.
Namun bagi pengendali Perak, Norizan menyatakan rekod tidak memainkan peranan penting dalam misi untuk meraih tiga mata ke atas Kelantan.
Malah norizan percaya anak didiknya kini tekad kembali bangkit selepas kekecewaan tumpas kepada Sabah tempoh hari.
"Kekalahan lalu membakar semangat pemain untuk memperbaiki aksi semasa mereka. Kami bermain baik walaupun tewas kepada Sabah, tetapi menentang Kelantan esok  pasti lebih istimewa buat kami di dalam memburu tiga mata penting," tambah Norizan lagi.
Berbeza dengan kelantan, The Red Warriors lebih digeruni kerana memiliki jentera serangan yang cukup berbisa.
Mana tidaknya, selepas mengharungi 10 perlawanan skuad kendalian Datuk M. Karathu itu sudah menjaringkan 24 gol.
Namun, Karathu mengharapkan agar anak didiknya  beraksi lebih sebagai satu unit yang mantap dalam misi melebar jurang pendahulu di persada liga.
"Kami berada pada tahap terbaik sekarang, tetapi bagi saya jaminan untuk kemenangan lebih kepada aksi berpasukan," kata Karathu.
Sepanjang 4 pertemuan sejak 2009, Kelantan mempunyai kelebihan menang 3 perlawanan.
Kali terakhir dua pasukan ini bertemu ialah pada Jun 2010, Kelantan menang 2-0 ke atas Perak.
Siaran langsung perlawanan Perak menentang Kelantan akan disiarkan di Astro ARENA 801 pada selasa ini bermula jam 8.30 malam.
(Dipetik Dari Media Sukan)

No comments:

Post a Comment